Ucapan Pendahuluan

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

    Bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurnianya, maka pada akhirnya, dapatlah terhasil sebuah laman web Maktab Rendah Sains Mara Kuala Berang. Penantian yang lama bagi menunggu kelahiran laman web ini memang sangat dinantikan oleh semua warga MRSM Kuala Berang. Alhamdulillah.


    Menjelang era sains dan teknologi, dunia kian berlumba-lumba untuk mencipta pelbagai rekaan yang mampu menarik perhatian ramai. Salah satunya ialah
laman web yang memang kita sudah tahu dengan laman inilah, maka seluruh dunia dapat mengetahui sesuatu. Penciptaan laman web yang dijalankan merupakan salah satu cara untuk memperkenalkan maktab ini seantero dunia.


    Sesungguhya dengan penciptaan laman web ini, ia jelas menunjukkan bahawa
MRSM Kuala Berang bukan sahaja mampu untuk mempelopori dalam bidang akademik malah tidak ketandusan bakat dalam bidang teknologi komputer sekaligus tidak ketinggalan dalam perkembangan sains dan teknologi dalam dunia tanpa sempadan ini. Meskipun MRSM Kuala Berang ini merupakan sebuah MRSM agama yang mengendalikan dwi-aliran, kita turut tidak ketinggalan dalam bidang ini. Ini membuktikan bahawa agama bukanlah penghalang bagi sesebuah kaum dalam mencapai kemajuan.


    Alhamdulillah,
MRSM Kuala Berang telah berjaya mengekalkan kejayaan 100% gred 1 dalam SPM selama 4 tahun berturut-turut. Semua ini hasil daripada usaha gigih para guru, para pelajar dan mereka yang terlibat secara tidak langsung dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang sempurna. Kejayaan memang berkait rapat dengan perkara-perkara ini. Diharapkan kejayaan ini dapat memberi perangsang dan dorongan kepada pelajar-palajar lain terutamanya kepada calon-calon yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.


    Sekalung tahniah kepada mereka yang terlibat dalam pembikinan laman web ini. Semoga ia dapat menjadikan pelajar -pelajar di
MRSM Kuala Berang antara pelajar yang terbaik di kalangan yang terbaik dalam semua bidang, masa, tempat, dan juga keadaan agar senantiasa maju dan berdaya saing sesuai dengan matlamat MARA.


    Buat para pendidik yang menerajui kecemerlangan
MRSM Kuala Berang, saya amat berharap agar daya juang serta komitmen anda senantiasa mekar terpahat di sanubari kita semua sebagai pendidik yang berwawasan.

"MRSM MENJANA INSAN BERILMU, BERIMAN, DAN BERAMAL SOLEH"

Yang Benar,


      Haji Rozali bin Mamat
(Pengetua MRSM Kuala Berang)
1